Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V merakamkan ucapan tahniah ke atas kejayaan Polis Diraja Malaysia dalam mengurangkan kadar jenayah, membasmi fahaman radikal dan ajaran sesat ideologi militan yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dalam titah perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-13 sebentar tadi, baginda turut mengucapkan tahniah kepada Angkatan Tentera Malaysia yang memainkan peranan penting dalam penjaga keselamatan negara.

“Beta serta kerajaan akan terus memperkukuhkan kedua-dua pasukan terbabit dan bila diizinkan, berhasrat untuk menambah perolehan kelengkapan, kenderaan serta menjaga kebajikan anggota.

“Beta turut mengalu-alukan tindakan kerajaan menempatkan lebih banyak aset dan fasiliti keselamatan di perairan Pantai Timur Sabah bagi meningkatkan keselamatan di kawasan terbabit.

“Kerjasama dan persefahaman yang dicapai dengan kerajaan Filipina berhubung kawalan keselamatan di Laut Sulu mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua negara dalam bidang keselamatan,” titah baginda.

Sementara itu, dalam titah yang sama Sultan Muhammad turut dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan, rasuah serta pembocoran maklumat kerajaan oleh penjawat dan bekas penjawat awam.

Titah baginda, walaupun dilakukan oleh segelintir, namun ia menghakis kepercayaan rakyat.

-myMetro