KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi Mesyuarat Pra-Kabinet mingguan yang sulung untuk tahun ini (2020).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata mesyuarat di Istana Melawati, Putrajaya itu bermula pada 8 pagi dan berlangsung selama 55 minit.

“Mesyuarat pada hari ini merupakan pertemuan sulung untuk tahun ini (2020) di antara Al-Sultan Abdullah dan Tun Dr Mahathir. Kedua-dua pemimpin kelihatan mesra dan penuh teliti semasa mesyuarat yang telah berlangsung hari ini,” katanya.

Ahmad Fadil berkata mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama perdana menteri.

“Pada tahun lepas (2019), sejumlah 32 kali Mesyuarat Pra-Kabinet telah berlangsung di antara Seri Paduka dan Perdana Menteri,” katanya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata mesyuarat tetap dijalankan jika perdana menteri tidak dapat menghadirinya dan beliau diwakili oleh timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – BERNAMA