IPOH: Seorang ah long didakwa di Mahkamah Seksyen Ipoh pada Selasa atas tuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat berwarna merah sehingga menyebabkan kerosakan terhadap pintu grill dan lantai rumah milik seorang peniaga.

Lai Yon Thong, 28, yang bekerja sebagai pembantu restoran dituduh melakukan kesalahan itu dirumah milik Andy Chow Hon Yin di nombor 143, Lebuh Bercham Selatan 1, Desa Bercham pada 20 Mac jam 5 petang.

Lai didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dia yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Puan Norashima Khalid menetapkan 25 April ini untuk sebutan semula kes.

Lai juga didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas satu lagi tuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat berwarna merah sehingg menyebabkan kerosakan terhadap pintu grill dan lantai rumah milik Andy Chow Hon Yin pada tarikh, masa dan ditempat yang sama.

Lai yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu telah diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Majistret Siti Hafiza Jaafar menetapkan 25 April ini untuk sebutan semula kes.