IPOH: Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Bahagian Lumut, Syed Razif Syed Rabii mendakwa kontrak penyelenggaraan di bawah bajet Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) Perak telah dihadiahkan kepada sebuah syarikat tanpa tender terbuka.

Syed Razif turut mendakwa penyelewengan bajet MARRIS itu dilakukan atas arahan pejabat Menteri Besar Perak dan sehingga kini Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Exco berkaitan gagal menjawab secara telus berhubung isu itu.

Tegasnya lagi, syarikat yang menerima kontrak itu pernah dilaporkan atas kesalahan penyelewengan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Setakat ini saya dah cuba berhubung dengan pihak Pejabat Menteri Besar untuk berurusan secara telus dan memberi maklumbalas, tapi hanya diam… sehingga hari ini pun saya masih dihalang.

“Saya berharap pihak kerajaan negeri dapat beri jawapan mengapa menghadiahkan kontrak tanpa tender dan terus kepada mana-mana syarikat.

“Sedangkan ia bercanggah dengan kaedah yang dinyatakan dalam Pakatan Harapan iaitu takkan ada tender terus, seperti yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.

Syed Razif berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas berhubung isu MARRIS negeri Perak di sini pada Rabu.

Tambahnya, sebelum ini dia beberapa kali dihalang untuk mendapatkan pencerahan mengenai isu tersebut dari pihak BERSATU sendiri.

“Sedangkan saya nak buat appointment pun dihalang, saya bergerak di dalam media Facebook dan Whatsapp dan secara langsung… itu saja yang mampu saya buat untuk berhubung dengan PBBM dan kerajaan negeri.

“Ini bukan pandangan saya seorang, ini melibatkan kontrak dan saya bukan kontraktor, tiada kepentingan langsung dalam urusan syarikat.

“Ahli-ahli lain cuma mampu bercerita saja, kerana bimbang dan jadi macam yang saya kena,”katanya lagi.

Katanya lagi, laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu di samping laporan kepada SPRM pada 17 September lepas.