JOHOR BAHRU: Lelaki warga asing, dipercayai suspek samun, maut ditembak ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di Jalan Dato’ Onn Utama, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.50 malam tadi, suspek yang memandu kereta Proton Wira diarah memberhentikan keretanya, namun dia bertindak agresif melanggar kenderaan polis sambil melepaskan beberapa das tembakan.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata anggota polis kemudian membalas tembakan menyebabkan suspek maut dan keretanya terbabas ke atas pembahagi jalan.

“Polis percaya suspek adalah ahli kumpulan yang terbabit dengan samun keluar bank. Kumpulan ini dianggotai beberapa yang lain, termasuk warga tempatan.

“Suspek yang bergiat aktif sejak tahun lalu itu dipercayai terbabit dalam lebih empat kes membabitkan samun keluar bank iaitu di Johor, Melaka dan beberapa negeri lain,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di sini, sebantar tadi.

Beliau berkata, polis sudah menjalankan intipan lebih sebulan dengan menubuhkan pasukan khas dan berjaya mengesan suspek terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Mayat suspek dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, tiada anggota polis cedera dalam kejadian itu, namun bahagian depan kenderaan polis rosak akibat dilanggar kereta suspek – berita harian