LUMUT: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menasihatkan ahli koperasi supaya jangan berbalah sesama sendiri, sebaliknya menumpukan usaha meningkatkan ekonomi.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan mereka supaya tidak berbalah dengan jabatan dan agensi kerajaan dalam mencari penyelesaian kepada masalah yang timbul.

Menurut beliau, gerakan koperasi memainkan peranan yang sangat penting untuk membantu menjana ekonomi negara.

Beliau memberi contoh beberapa negara maju, misalnya di Jepun di mana kira-kira 27 juta daripada 100 juta rakyatnya menjadi ahli koperasi yang turut membantu ekonomi negara tersebut.

“Saya berharap kira-kira 1,500 koperasi yang berada di Perak dapat bergerak aktif dan mencari jalan kreatif untuk menjalankan aktiviti ekonomi mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Listari Modal Insan Koperasi sempena mesyuarat agung Koperasi Persalam Manjung Berhad di Virgo Batik Resort, Teluk Batik dekat sini, hari ini.

MB_lestari_modalinsan 2Di dalam ucapannya, Dr Zambry mahu jabatan kerajaan seperti pihak berkuasa tempatan supaya jangan terlalu menekankan soal penguatkuasaan, sebaliknya mengambil pendekatan membimbing peniaga-peniaga, termasuk yang berniaga di tepi-tepi jalan.

“Kerajaan bukanlah zalim, asyik nak ambil tindakan denda sahaja, kita ambil pendekatan bimbing mereka, jaga kebersihan,” ujarnya.

Dalam masa sama, kata beliau, kerajaan sentiasa bersedia untuk menerima teguran bagi meningkatkan lagi perkhidmatan kepada rakyat di samping merobohkan tembok pemisah antara kedua-dua pihak.

“Kerajaan sentiasa prihatin untuk selesai masalah rakyat, sebab itu kita tidak mahu ada tempoh pemisah yang menghalang rakyat untuk berjumpa pemimpin,” tambahnya.

Dr Zambry turut mengucapkan tahniah kepada Koperasi Persalam yang ditubuhkan pada 2011 dengan dianggotai hampir 1,000 peniaga pasar malam di Manjung.

Koperasi itu turut menyediakan kemudahan skim pinjaman mikro kredit di mana sehingga tahun lalu, sebanyak RM7 juta telah diluluskan dengan pinjaman tertinggi RM100,000 untuk setiap peniaga.

MB_lestari_modalinsan 3