IPOH– Yayasan Pembangunan Pendidikan India Negeri Perak disaran tampil memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri bagi menjelaskan kedudukan status sebenar untung rugi berkaitan projek tananam ladang kelapa sawit di tanah berkeluasan 2,000 ekar yang sepatutnya menjana pendapatan untuk tabung pendidikan murid miskin di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata sehingga kini pihaknya gagal mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Yayasan itu berikutan keengganan ahli lembaga pengarahnya memberi kerjasama.

“Saya hanya menerima maklumat kerajaan negeri dahulu meluluskan kawasan seluas 2,000 ekar tanah kepada Yayasan Pembangunan India yang mana hasil keuntungan daripada tanaman tersebut bertujuan digunakan untuk membantu murid kaum India di Perak.

“Walaubagaimanapun semakan terkini memaklumkan hasil keuntungan daripada projek tanaman di atas tanah tersebut masih tidak sampai kepada pihak (murid) yang sepatutnya menerima,” ujar Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan YB A. Sivasubramaniam (DAP-Buntong) di Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Negeri ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.

Dalam pada itu, keengganan ahli lembaga pengarah Yayasan yang terdiri daripada kalangan anggota MIC merumitkan lagi usaha untuk mengetahui sejauh mana gerak kerja dari pemberian tanah itu.

“Isu ini masih tergantung dan pihak saya tidak tahu sejauh mana kemajuan hasil daripada pemberian tanah oleh kerajaan dahulu dan dikhuatiri berlakunya penyelewengan.

“Perkara ini perlu diberi perhatian serius demi kebajikan 134 Sekolah Tamil di Perak,” katanya.