SLIM RIVER – Ahli Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN, Datuk Khusairi Abdul Talib berhubung satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, 12 Julai lalu.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim sekitar jam 1.20 petang tadi antara lain menggesa siasatan dibuat terhadap Khusairi yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur tuduhan dan mencemar kewibawaan anggota ahli majlis.

Wakilnya, Junaida Jamaludin berkata, pihaknya memandang serius semua tuduhan dibuat antaranya dikaitkan dengan perbuatan luar tabii dan pencabulan melibatkan seorang ahli majlis dengan pekerja pelatih yang mana kesnya dikatakan ditutup serta merta.

“Kenyataan sebegini sama sekali tuduhan fitnah yang tidak berasas, ini termasuklah menyatakan undang-undang rimba sudah dibawa dalam mesyuarat penuh ahli majlis,” katanya.

Menurutnya, kenyataan dipaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim itu memberi imej negatif terhadap semua kepimpinan Ahli Majlis MDTM.

“Beliau ada menyatakan MDTM bukan tempat longgokan sampah walaupun antara tugasnya adalah membersihkan sampah…bagi saya kenyataan sebegini satu hinaan terhadap ahli majlis daripada Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan menerima laporan dibuat.

Dalam kenyataan dimuat naik ke akaun Facebook nama Khusairi Talib itu mendakwa ada kisah berlaku di sebuah hotel di Pulau Pinang melibatkan ahli-ahli majlis MDTM, 1 Julai lalu

“Disebabkan dah ditutup, saya pun tak mahu ungkit lagi kes ini, agaknya itulah juga mungkin berlaku dalam siasatan kes Sandakan dan Meru,” tulisnya dipercayai merujuk isu video intim luar tabii membabitkan seorang menteri dan kes perkosa pembantu rumah melibatkan Exco Perak.

Dalam posting sama turut dipertikaikan keputusan pengundian nama untuk dilantik ke jawatan Pegawai Undang-undang yang mana dipersetujui ahli majlis tetapi tidak Yang Dipertua.

 

-SINARHARIAN