Hutan Melintang: Semua anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) diarahkan melakukan pemantauan terhadap setiap projek pembangunan di kawasan masing-masing bagi memastikan peruntukan yang diberi oleh kerajaan persekutuan atau negeri tidak diseleweng.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menyeleweng peruntukan pembangunan yang diberikan khas untuk kemudahan rakyat.

“Saya tidak mahu rakyat dimangsakan oleh pihak yang dikenali sebagai little napoleon, walaupun di luar bandar kita mengetahui jumlah peruntukan diluluskan serta nilai (sebenar) projek yang disiapkan.

“Kita perakui setiap kontraktor perlu ada margin keuntungan tetapi jangan melampau, kualiti produk yang disediakan kurang daripada dispesifikasikan atau bagai melepaskan batuk di tangga,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berkata demikian selepas merasmikan dewan terbuka sekolah menengah kebangsaan (SMK) Hutan Melintang serta penyampaian bantuan awal persekolahan kepada ibu bapa pelajar sekolah berkenaan, di sini pada Sabtu.

Tambah beliau, sekiranya wujud unsur penyelewengan terhadap mana-mana projek pembangunan di kawasan masing-masing, mereka terlibat perlu melaporkan secara terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ini adalah untuk kepentingan rakyat, kerajaan tidak pernah berkompromi kalau ada mana-mana pihak melakukan ketirisan, penyelewengan sehingga rakyat memperolehi nilai lebih rendah daripada peruntukan yang disediakan.

“Ahli Parlimen dan ADUN hendaklah bertanggungjawab dengan peruntukan yang disalurkan kepada mereka, kalau mereka tidak lakukan juga tindakan akan menanti mereka,” tegasnya.

Terdahulu ketika menyampaikan ucapan perasmian dewan itu, Timbalan Perdana Menteri telah menghentam kualiti serta keadaan dewan berkenaan yang dibina dengan peruntukan sejumlah RM600,000.

“Jangan hina orang Bagan Datuk, jangan hina SMK Hutan Melintang, saya tak puas hati, saya tidak akan pernah puas hati, RM600,000 macam ini ke?

“Saya akan minta Suruhanjaya Pecengahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat kenapa jadi begini, kalau ada penyelewengan ambil tindakan tidak kira kontraktor, konsultan apa sesiapa sahaja yang terlibat,” tegas beliau ketika berucap dalam majlis itu.

Tambah beliau lagi, bangunan yang diberi peruntukkan RM600,000 itu kelihatan seperti dibina dengan harga RM300,000 serta tidak menepati standard yang dikehendaki