Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Seorang lagi Ahli Parlimen di Perak semalam mengumumkan keluar daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas Datuk Noor Azmi Ghazali, Ahli Parlimen Bagan Serai membuat keputusan sama Ahad lepas.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dalam satu sidang media di sini mengumumkan menjadi Ahli Parlimen bebas berkuatkuasa 1 Julai depan.

Menurutnya, tindakan keluar parti didorong perasaan hampa serta kecewa dengan proses pemilihan kepimpinan Ketua Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Bukit Gantang sesi 2018-2021 pada 23 Jun yang lepas.

“Apa yang mengecewakan saya ialah terdapat dalam kalangan pemimpin UMNO Bahagian ini tidak mahu akur dengan keputusan sebulat suara supaya pembentukan kepimpinan baru sayap UMNO di sini dibuat secara berhemah, berbincang dan bermusyawarah.

“Berlaku penipuan dalam pemilihan kali ini apabila 15 cawangan Pemuda UMNO yang bermesyuarat dinafikan hak tanpa notis selain budaya mengugut, mengadu domba, menghasut dan memfitnah wujudnya politik wang yang telah mencemar proses demokrasi pemilihan Pemuda UMNO Bahagian,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang di sini pada petang Rabu.

Katanya lagi, sudah tiba masanya untuk beliau mengundurkan diri setelah berjuang selama dua pilihan raya namun “dihadiahkan” dengan sokongan tipis dari pihak akar umbi Umno di Bukit Gantang.

“(Ini masih berlaku) walaupun pada Pilihan Raya Umum lepas, saya telah berjaya memimpin jentera Barisan Nasional mengharungi Tsunami,sehingga kemenangan 4-0, melepasi badi kekalahan selama 10 tahun,”katanya lagi.

Tambahnya, beliau juga kecewa apabila tidak dibenarkan berucap pada Persidangan Pemuda UMNO Bahagian pada 23 Jun yang lepas.

Kata Syed Abu Hussin, keputusan untuk menjadi Ahli Parlimen bebas itu dibuat atas kehendak sendiri malah tidak dipengaruhi oleh individu yang berkepentingan atau mana-mana ahli politik.

“Saya akan meneruskan khidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen di Bukit Gantang tanpa diganggu oleh masalah dalaman parti UMNO.

“Dengan ini, saya turut mengumumkan perletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Pengerusi BN Bukit Gantang berkuatkuasa hari ini (semalam) dan memberi laluan kepada barisan pelapis yang berkemampuan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai samada alasan itu rasional atau tidak, Syed Abu Hussin menegaskan hanya beliau sahaja yang memahami sebab sebenar dan jerih payah ketika membantu memulihkan UMNO.

Katanya, pelbagai kesusahan dilalui sehingga membawa kepada kemenangan sebelum ini dan kini jentera tersebut telah hancur.

“Saya melihat keseluruhannya,..tidak ada kestabilan dan kawalan (control) dalam parti UMNO, mungkin mereka mahukan perubahan, jadi saya bagi laluanlah. Saya tidak mahu berhenti saya enggan bertahan lagi,”ujarnya.

Tegasnya, beliau tidak terfikir untuk menyertai mana-mana parti politik dalam masa terdekat walaupun terdapat kemungkinan tawaran yang diusulkan kepadanya.

Jawatan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang akan dipangku Timbalannya, Mohd. Kamaruddin Abu Bakar.