SUNGAI SIPUT: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nik Abduh Nik Abdul Aziz meminta ahli PAS jangan menganggap UMNO sebagai ‘musuh’ sampai akhirat.

Sebaliknya, menurut beliau ahli parti itu mesti berfikir jauh ke hadapan bahawa perjuangan Islam bukan hanya soal PAS-UMNO tetapi perjuangan sebenar adalah bagaimana PAS hendak membawa agama Islam diterima oleh masyarakat.

“Kita tahu bahawa kalau hanya PAS sahaja hendak pada Islam tetapi orang lain tak nak maka tak ke mana perjuangan kita.

“Jadi kita perlu kembangkan juga dan bergerak ke dalam masyarakat tidak kira orang itu orang UMNO atau sebagainya, kita perlu dekatkan mereka dengan perjuangan PAS,” katanya.

Nik Abduh berkata demikan kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak kali ke-34 di Hotel MH Sungai Siput pada Ahad.

Hadir sama ketua dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin dan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Razman Zakaria.

Menurut beliau perkembangan Islam lahir daripada masyarakat dan bukan dari kelompok pemimpin tertentu.

“Maka saya minta supaya Pemuda PAS yang umur mereka masih panjang dalam perjuangan ini supaya berfikir secara lebih besar jangan hanya fikir politik yang hanya berkisar kepada PAS dan UMNO sahaja.

“Saya sebut ini bahawa ahli PAS memikirkan PAS-UMNO maka dia akan jadi macam PAN lah maknanya ada sedikit perubahan dengan UMNO dia jadi marah sebab dianggap UMNO ni musuh sampai akhirat” katanya.

Ditanya mengenai kerjasama UMNO dengan PAS, katanya kerjasama itu adalah untuk agama dan ummah.