SERI ISKANDAR – Lebih 40 ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) melakukan laporan polis terhadap dua individu yang didakwa menghina institusi beraja.

Ketua Penerangan Perkasa Perak, Mohd Safian Sauri Pandak Abd Samad berkata, laporan berkenaan dibuat terhadap Koon Yew Yin yang didakwa mempertikaikan kredibiliti dan Integriti Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Datuk A Kadir Jasin yang menyerang Yang Dipertuan Agong di blog miliknya.

“Tindakan kedua-dua individu ini mendatangkan kemarahan bukan sahaja di kalangan ahli Perkasa malah juga orang Melayu di negara ini yang mengangkat tinggi kedaulatan raja-raja.

“Apa yang dilakukan oleh mereka bukan hanya menyinggung perasaan tetapi menikam hati orang Melayu kerana mencabar raja-raja Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Seri Iskandar, Parit, hari ini.

Menurut Safian Sauri, kesemua ahli Perkasa yang hadir membuat laporan polis datang dari Parit, Pasir Salak, Teluk Intan dan Bagan Datuk bagi bersama-sama menyokong agar tindakan diambil terhadap dua individu terbabit.

Safian Sauri turut memberi amaran bahawa Perkasa akan menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak lebih aktif tahun hadapan dalam mepertahankan kedaulatan raja-raja serta hak orang Melayu.

“Ramai orang Melayu yang melihat, belum bangkit dan mereka akan bangkit apabila kamu memperkotak-katikkan kedaulatan raja-raja kerana mereka ini tidak taksub dengan mana-mana ahli politik,” katanya.

Pada masa sama, Sufian Suari turut mengingatkan orang Melayu agar tidak terlalu taksub dengan parti politik masing-masing terutamanya melibatkan kedaulatan raja-raja serta hak istimewa orang Melayu – sinar