Oleh: Shafiq Noordin

IPOH: Seorang ahli perniagaan yang kini bebas dengan jaminan RM140,000 setelah menghadapi tujuh tuduhan mengemukakan tuntutan palsu bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) disebut, dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas lima pertuduhan yang sama.

Loo Peng Wah, 50, yang bebas dengan jaminan sebanyak RM140,000 pada 30 Ogos lalu, didakwa lagi dengan lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu yang keseluruhannya berjumlah RM363,769 bagi tempoh percukaian GST antara Disember 2015 dan April tahun lalu.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 89 (1)(b) Akta GST 2014 di Stesen Ipoh, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh, antara 8 Januari hingga 8 Mei 2016.

Dia yang diwakili peguam Manjeet Kaur dan Dalgit Singh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan tersebut dan meminta dibicarakan.

Hakim Murtazadi Amran yang mendengar kes tersebut, membenarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes itu pada 12 Oktober depan.

Hakim Murtazadi membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa JKDM, Mohd Safwan Fathi Yahya agar pasport tertuduh diserahkan ke mahkamah dan dia melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat JKDM terdekat.

Pada 30 Ogos lalu, Peng Wah dihadapkan buat pertama kali di mahkamah itu atas tujuh tuduhan mengemukakan tuntutan bayaran balik GST yang palsu.

Pada tarikh sama, isterinya, Ng Lee Foon, 45, turut didakwa atas empat tuduhan sama membabitkan tuntutan palsu GST dengan nilai keseluruhan mencecah RM745,838.

Kedua-dua mereka dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu kes itu disebut semula pada 4 Oktober ini.