IPOH – Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkmah Sesyen Ipoh pada Jumaat di atas pertuduhan menipu rakan perniagaannya berkaitan perusahaan ikan koi melibatkan nilai RM7.6 juta tiga tahun lalu.

Tertuduh, Luke Sham Shori, 54, mengaku tidak bersalah dan memohon dibacarakan selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa inggeris di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Luke dituduh menipu Datuk Lee Seng Hee, 61, dengan memperdaya beliau untuk mempercayai bahawa Lee akan dijadikan sebagai rakan kongsi dalam perniagaan ikan koi melalui Syarikat Best Koi yang didakwa milik tertuduh.

Tertuduh telah mendorong Lee melabur dalam projek perniagaan berkenaan dengan memasukkan wang ke dalam akuan Syarikat Best Koi dan akaun Syarikat Sakai Fish Farm Co. Ltd di Jepun kononnya bagi tujuan pembelian ikan koi.

Perbuatan itu dilakukan di Public Bank Berhad, Jalan Yang Kalsom, Ipoh pada 11 November 2013 hingga 22 Julai 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin.