PUTRAJAYA: Seorang ahli perniagaan direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menerima wang berjumlah RM19 juta bagi menutup siasatan projek mega terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh mengeluarkan perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 37 tahun itu di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir di ibu pejabat SPRM di sini pada jam 3.48 petang semalam.

Difahamkan, suspek menerima wang berkenaan daripada syarikat pembinaan utama projek terbabit selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan dijalankan SPRM.

Sumber berkata, pihak syarikat berkenaan membayar wang berjumlah RM19 juta itu secara berperingkat sekitar Julai dan Ogos tahun lalu.

Katanya, pembayaran pertama berjumlah RM2 juta dibuat pada Julai tahun lalu di rumah suspek, manakala bayaran kedua iaitu sebanyak RM15 juta pula dilakukan kepada sebuah syarikat pada bulan sama dan pembayaran ketiga dan terakhir pada Ogos tahun lalu.

Projek mega terowong itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar – berita harian