IPOH – Kesemua ahli politik di negeri ini perlu mengingati dan mengikuti pesanan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya tidak membuat provokasi kaum.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ahli-ahli politik di negeri ini tidak sepatutnya terus bermain dengan sentimen perkauman demi mengejar matlamat politik atau parti yang diwakili semata-mata.

“Baginda baru-baru ini beritah dan mengingatkan kepada semau pemimpin supaya jangan jadi dalang provokasi kaum, itu bukan kerja kita (ahli politik), kita seharusnya kerja untuk membina negeri ini.

“Itu sepatutnya yang menjadi kepentingan utama, bukan membuat provokasi sebegini,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai video tular ucapan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Barisan Nasional di sebuah majlis di Gerik yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuba memastikan agama Islam bukan lagi agama persekutuan dalam negara.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PH Perak berkata, laporan Polis telah pun dibuat mengenai ucapan berkenaan pada Isnin lalu.

“Laporan polis telah dibuat, polis sudah pasti akan buat siasatan dan bertindak adil, apa juga tindakan (yang bakal diambil) polis demi menjaga keamanan dalam negara, biar proses siasatan itu berjalan.

“Mengenai kadnungan ucapan itu, kalau ada rakyat percaya perkara (yang didakwa) itu, saya tak tahu nak cakap apa,” ujarnya.