KOTA KINABALU: Ahli politik adalah antara kira-kira 80,000 individu dan pemilik syarikat di seluruh negara sedang dijejaki Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana dikenal pasti memiliki kekayaan luar biasa, selain ada yang tidak pernah melaporkan pendapatan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata pihaknya sudah mengeluarkan notis mengikut Seksyen 79, Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi meminta individu terbabit tampil dan membuat pengisytiharan pendapatan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Beliau berkata, individu terbabit termasuk mereka yang tidak melaporkan pendapatan lain seperti komisen dan hasil sewa dalam laporan pendapatan diserahkan kepada agensi itu setiap tahun.

“Berdasarkan audit LHDN, kita mengenal pasti individu memiliki kekayaan melampau tetapi tidak melaporkan pendapatan kepada kita. Notis mengikut Seksyen 79 sudah dikeluarkan dan kita mahu mereka tampil buat pengisytiharan.

“Mereka termasuk ahli politik tetapi kita tidak boleh dedahkan siapa mereka. Apa yang saya boleh katakan, mereka adalah antara 80,000 orang di seluruh negara yang gagal melaporkan pendapatan kepada LHDN,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) untuk pembayar cukai melaporkan pendapatan yang belum dilaporkan atau terkurang daripada yang dikemukakan kepada LHDN sebelum ini.

Sabin berkata, tindakan penalti sehingga 300 peratus daripada nilai cukai boleh dikenakan terhadap individu atau syarikat yang gagal mengemukakan laporan pendapatan, selain dikenakan sekatan ke luar negara mengikut Seksyen 104, Akta Cukai Pendapatan 1967.

Mengenai PKPS, Sabin berkata, seramai 148 pembayar cukai pelbagai kategori di Sabah sudah membuat pengakuan sukarela menerusi program itu antara 3 November hingga semalam, membabitkan cukai tambahan dan penalti berjumlah RM8.1 juta.

Katanya, individu yang tampil membuat pengakuan sehingga 30 Jun 2019 hanya dikenakan penalti antara 10 peratus dan 15 peratus, manakala penalti asal antara 80 peratus hingga 300 peratus dikenakan bagi mereka yang gagal membuat pengakuan dalam tempoh ditetapkan.

“Pengakuan sukarela akan diterima secara suci hati tanpa semakan lanjut oleh LHDN. Sehubungan itu LHDN meminta semua pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai agar memanfaatkan tawaran ini,” katanya.

Katanya, pengakuan sukarela itu boleh dibuat di mana-mana pejabat LHDNM seluruh negara bermula 3 November lalu hingga 30 Jun 2019.

Dalam hal lain, Sabin berkata, kutipan cukai di Sabah bagi tahun ini setakat November lalu meningkat 1.53 peratus atau RM55 juta kepada RM3.666 bilion berbanding RM3.611 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Bagi individu yang dikenakan sekatan ke luar negara, katanya, seramai 1,841 orang di Sabah dikenakan tindakan itu antara Januari hingga November lalu membabitkan jumlah cukai sebanyak RM130.2 juta.

Terdahulu, Sabin turut menyaksikan serah terima tugas Pengarah LHDN Sabah di antara penyandangnya, Suhaili Sudin dengan penggantinya, Datuk Hajam Lajah Alam yang kini Pengarah Profiling dan Perisikan LHDN yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan – berita harian