Oleh: Nazialita Geynna Maharan

KG GAJAH: Lebih 16,000 ahli Persatuan Peladang Negeri (PPN) Perak dinasihatkan supaya menambah saham mereka di dalam pertubuhan itu sebagai jaminan masa depan.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail berkata, ianya adalah bagi memastikan saham ahli itu dapat digunapakai bagi tujuan pembangunan kawasan PPN di sekitar negeri.
 
Katanya, sebagai pulangan ia akan memberikan manfaat kepada pelabur dalam tempoh jangka masa tertentu bahkan dapat membantu memperbaiki kehidupan pemilik kawasan tanah yang dibangunkan
 
“PPN sama sekali tidak pernah berniat atau melakukan sebarang tindakan untuk mengaut keuntungan peribadi atau atas kepentingan tersendiri.
 
“Konsep kami adalah untuk memastikan wang pelaburan ahli digunakan secara efisien terutamanya dari segi bantuan jaminan kewangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di program Jalinan Tani PPN, di PPK Perak Tengah pada Jumaat.
 
Nadzri berkata, seramai 50 petani dan peladang terpilih dari PPK Seberang Perak dan Kg Gajah menerima elaun dan barangan bantuan pada program tersebut.
 
Ini adalah program ketiga PPN Perak sempena Permukiman Menteri Besar di  Perak Tengah untuk mendekati rakyat akar umbi.
“Kami juga memberikan benih sayur-sayuran untuk mereka menanamnya sama seperti polisi kerajaan negeri “makan apa yang kita  tanam, selainnya jual,” kata Nadzri.