KUCHING: Sekumpulan aktivis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini kerana enggan berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan dalam sebuah majlis kutipan dana pada bulan lalu.

Tujuh ahli Sarawak for Sarawakians (S4S) itu berusia 33 hingga 64 tahun. Mereka adalah Alex Leong, Kon Tai Keong, Bong Sak Sin, Andrew Chong, Tan Kok Chiang, Pui Ping Ping dan Phang Ngin Pen.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 8(3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak lebih sebulan, jika sabit kesalahan.

Majistret, Zubaidah Shakawi membenarkan tujuh tertuduh diikat jamin RM1,000 dan menetapkan 11 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Satu klip video selama 22 saat menunjukkan tujuh ahli S4S enggan berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan tersebar di Facebook bulan lalu.

S4S mempertahankan tindakan ahlinya dengan berkata, ia adalah tanda protes senyap untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Putrajaya yang gagal mengotakan janji terhadap Sarawak.

Jurucakap S4S, Peter John Jaban berkata, Negaraku “bukan lagu kebangsaan kita” dan ia meniru lagu “Mamula Moon” nyanyian kumpulan Hawaiian Serenaders pada 1940-an.

Katanya, Negaraku ialah lagu kebangsaan “Malaya” dan bukannya lagu kebangsaan persekutuan.

Sarawak hanya menyertai Malaysia pada 1963. Kami hanya rakan kongsi setara.

“Mereka patut mencipta sebuah lagu untuk persekutuan Malaysia. Kenapa mereka masih menyanyi Negaraku?”

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan tindakan mereka “keji” dan menggesa pihak berkuasa menyiasat serta mendakwa ahli S4S itu.

Katanya, rasa tidak puas hati dengan layanan Putrajaya terhadap Sabah dan Sarawak tidak patut dijadikan alasan untuk tidak menghormati lagu Negaraku