PUTRAJAYA: Tiga lelaki termasuk seorang warga India direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung sindiket menawarkan pakej lengkap sijil akademik palsu menggunakan nama institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Perintah reman ke atas suspek berusia antara 30 hingga 34 tahun itu dikeluarkan Majistret Nik Muizzuddin Nik Muhammad di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini hingga Jumaat ini bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Semalam, media melaporkan, tiga suspek terbabit ditahan dalam serbuan dijalankan SPRM di sekitar Lembah Klang.

Sumber dipetik berkata, jika sebelum ini sindiket hanya mengeluarkan sijil akademik palsu, namun sindiket baharu ini turut mengeluarkan transkrip akademik berdasarkan permintaan pelanggan.

Ini kerana, bagi memohon pekerjaan, sijil akademik saja tidak mencukupi, sebaliknya mereka perlu menunjukkan transkrip penuh untuk mengelak keraguan dalam kalangan majikan.

Sijil akademik berkenaan merangkumi peringkat diploma hingga doktor falsafah daripada universiti swasta dan awam tempatan.

Difahamkan, sijil diploma dijual pada harga RM4,500, ijazah sarjana muda (RM12,500); ijazah sarjana (RM15,000) dan RM20,000 bagi ijazah doktor falsafah membabitkan semua kursus sama ada sains, sastera, kejuruteraan atau perubatan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya sedang menjejaki baki ahli sindiket berkenaan – beria harian