SHAH ALAM: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, hari ini membuat laporan polis menafikan sebarang pembabitannya dengan projek terowong dasar laut Pulau Pinang,

Selain meminta polis menyiasat tohmahan itu, Abdul Azeez menerusi peguamnya juga sudah menghantar surat kepada Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd, supaya menarik balik tuduhan dibuat mereka menerusi surat tuntutan yang dihantar, dalam tempoh empat hari.

Kegagalan menarik balik dakwaan tidak berasas itu, menyebabkan beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan.

“Saya tidak pernah ada apa-apa urusan dengan syarikat Zenith. Saya buat laporan ini juga untuk memohon polis siasat dakwaan ini. Saya sedia untuk beri sebarang kerjasama pada polis dan pihak berwajib.

“Saya menjadi mangsa orang jual nama, hari ini saya harap ada satu titik noktah mengenai isu ini, semua pihak diminta siasat secara telus,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 9.30 pagi ini dengan diiringi hampir 50 penyokong.

Beliau membuat laporan polis susulan dakwaan menerima bayaran RM3 juta bagi kerja rundingan berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang daripada Konsortium Zenith.

Abdul Azeez mengesahkan, menerima surat tuntutan daripada firma berkenaan melalui pos berdaftar pada 27 Februari lalu, namun menegaskan dirinya tidak terbabit dengan projek pembinaan itu.

Sementara itu, peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Abdul Azeez, berkata pihaknya sudah membalas surat tuntutan daripada peguam Konsortium Zenith kelmarin dan menyatakan semua dakwaan berkenaan adalah palsu.

“Dalam surat balas itu juga kami meminta mereka menarik balik tuduhan dalam tempoh masa empat hari dan meminta maaf. Jika tidak kita akan teruskan dengan tindakan undang-undang,” katanya – berita harian