BAGAN SERAI: Tugas ahli UMNO bukan hanya perlu menjawab isu-isu yang dibangkit oleh pembangkang malah perlu menceritakan mengenai rekod pencapaian dan kejayaan negara.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, persidangan peringkat cawangan dan bahagian yang berlangsung ketika ini perlu dijadikan sebagai platform untuk memberikan penjelasan berhubung isu-isu yang dibangkitkan pihak pembangkang.

“Kenapa tidak diceritakan bagaimana ekonomi dunia merudum tetapi Malaysia masih mampu bertahan. Kenapa tidak diceritakan bagaimana hubungan diplomatik yang baik menyelesaikan masalah negara dengan Singapura ketika zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pelaburan negara China, sebahagian besarnya dapat kepada negara kita atas dasar diplomasi. Begitu juga dengan isu kebajikan jemaah haji yang sekian lama tidak dapat diselesaikan, mendapat layanan yang baik daripada kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis perasmian serentak Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Wanita, Pemuda, Puteri Bahagian Bagan Serai di SMK Abu Bakar Al-Baqir, Sungai Gedong dekat sini pada Ahad.