KUALA LUMPUR: Ahli UMNO perlu menzahirkan semangat solidariti dengan mempersiapkan diri dengan ‘minda menang’ bagi membantu dan menyokong kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan mandat untuk terus menerajui kerajaan.

Wakil Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Azhar Jamaluddin berkata, itu perlu kerana gendang perang akan dipalu bila-bila masa sahaja.

Menurut beliau, minda menang mesti mengukuh dalam sanubari setiap ahli bagi mendapatkan mandat besar kerana ia merupakan peperangan hidup mati bangsa Melayu.

“Jangan biarkan Presiden (Najib) berseorangan, jangan hanya tengok kesusahan yang ditanggung pemimpin kita sahaja,” katanya ketika menyokong perbahasan Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Teluk Intan berkata, Perak berpendapat tujuh minda menang menjadi prasyarat untuk berjaya dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Beliau memberitahu, tujuh minda menang itu ialah kesetiaan dan pengorbanan terhadap perjuangan; jangan mudah berpuas hati dan sentiasa berfikir ke hadapan; mempunyai rasa kebersamaan; jangan menyorok perkara di bawah tikar; tetapkan siapa musuh; dan tetapkan sasaran kemenangan serta perlu menyelami masalah resah dan gelisah masyarakat.

“Kita mesti meneruskan keberadaan UMNO di tengah-tengah khalayak. UMNO yang telah terbukti sejak tujuh dekad mesti terus berada di tengah masyarakat.

“Perubahan politik, cabaran dan persekitaran menuntut agar kita menyantuni kehendak dan mendengar denyut nadi mereka agar UMNO bersifat inklusif,” ujarnya.

Mohd Azhar turut menyokong cadangan sayap-sayap parti yang seia sekata supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang, demi perpaduan parti.

“Presiden UMNO perlukan seorang jeneral perang mendampingi (beliau) bagi mengharungi PRU14. Sebagai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliaulah yang paling layak,” katanya.