IPOH: Bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ahmad Awang dan kartunis terkenal, Datuk Mohammad Nor Khalid (Lat), masing-masing menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dan Tokoh Ar-Ridzuan sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak Tahun 1440H / 2018M.

Mereka menerima hadiah wang tunai RM10,000, pakej umrah bernilai RM7,000, hadiah iringan, plak dan sijil.

Anugerah disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis sambutan di Pusat Konvensyen Ipoh di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Hadir sama Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal dan barisan exco kerajaan negeri.

Ahmad, 82, anak kelahiran Semanggol, Perak adalah Timbalan Pengerusi Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Cawangan Malaysia di samping Penasihat Umum Amanah Pusat.

Lat, 67, dilahirkan di Kampung Lalang, Gopeng, banyak menghasilkan karya yang mencerminkan pandangan dirinya terhadap hal-ehwal Malaysia serta dunia dan sering disiarkan dalam akhbar tempatan.

Beliau merupakan pemenang Hadiah Budaya Asia Fukuoka pada tahun 2002 dan telah menerbitkan lebih daripada 20 jilid kartun semenjak berusia 13 tahun dengan karya paling terkenal Kampung Boy (1979) yang diterbitkan dalam beberapa bahasa di serata dunia.

Sementara itu, Masjid Ar-Ridzuan Parit Buntar menerima anugerah Pengurusan Masjid manakala Tanah Perkuburan Islam Daerah Hilir Perak menerima anugerah Pengurusan Tanah Perkuburan.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000, plak dan sijil.