IPOH: Satu perjumpaan akan diadakan oleh Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu dengan kumpulan yang tidak puas hati dengan pelantikan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin sebagai Penasihat Kepada Menteri Besar.

Menurut Ahmad Faizal perjumpaan itu bertujuan menerangkan kepada kumpulann ini akan rasional disebalik perlantikan itu dibuat.

Katanya, keputusan melantik Zainol ke jawatan itu bukanlah dibuat berdasarkan penilaian peribadinya seorang diri tetapi mendapat sokongan daripada pengerusi keempat-empat parti komponen Pakatan Harapan negeri ini.

“Sebenarnya, tindakan saya menanggani bantahan ini adalah berjumpa dengan mereka, berbincang dengan mereka dan menerangkan apakah alasan-alasan (disebalik keputusan), dan kenapa perkara ini dibuat. Saya fikir, mereka bukan menentang, (cuma) mereka belum memahami tujuan mengapa keputusan itu buat dibuat, dan itulah perkara yang akan saya terangkan kepada mereka.

“Tentunya antara keputusan-keputusan ini, ada di kalangan ahli-ahli yang tidak berapa bersetuju tetapi di dalam kita mentadbir sesebuah negeri saya percaya tidak semua keputusan dapat diterima sepenuhnya oleh semua ahli,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Duta dan Ketua Misi Diplomatik Kesatuan Eropah (EU) sempena pemukiman HOMs EU, di Banjaran Hotsprings Resort, di sini, hari ini.

Justeru, Ahmad Faizal berkata sekiranya keputusan tersebut berkaitan dengan politik ianya adalah bertujuan untuk kepentingan parti dan sekiranya ianya berkaitan kerajaan seperti pembentukan dasar-dasar kerajaan ianya adalah untk kepentingan rakyat dan negeri Perak.

“Pelantikan ini dibuat bukannya atas persetujuan atau kehendak saya seorang diri,..(malah) ianya juga telah diperkenankan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sendiri. Perkara-perkara (keputusan) sebegini saya tidak akan mengambil keputusan berseorangan.

Buat masa ini, beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Malaysia (PPBM) Perak itu berpendapat bahawa tiada sebarang keperluan untuk mengubah keputusan tersebut kerana ianya adalah sebuah keputusan berlandaskan konsensus.

Ketika ditanya mengenai ura-ura mengatakan Zainol Fadzi dilantik sebagai exco sebelum ini, Ahmad Faizal mengingatkan bahawa kerajaan Pakatan Perak berjaya ditubuhkan atas sokongan ADUN Sungai Manik itu yang memberi sokongan pertama.

“Di dalam Pakatan Harapan, kita sentiasa berbincang untuk menjalinkan sillaturahim, itu amat penting kerana kita mentadbir negeri ini bersama, sudah tentunya apabila kita dah tubuhkan satu kerajaan kita buat sesuatu keputusan secara musyawarah.

“Kita berbincang sesama kita, kalau pun ada cadangan dulu melantik Zainol sebagai exco, namun beliau hanya dilantik sebagai penasihat, itu keputusan yang dibuat secara bersama,”katanya.

Ahmad Faizal juga berkata bahawa Zainol bukanlah ADUN bebas kerana beliau telah berdaftar sebagai ahli PPBM sekaligus menjadikan terdapat dua wakil parti itu di DUN Negeri Perak iaitu dirinya sendiri (Chenderiang) dan Zainol (Sungai Manik).

“Perkara ini jelas, dia (Zainol) bukanlah orang luar seperti yang didakwa, Zainol juga bukan wakil rayat bebas tapi wakil PPBM di DUN,”ujarnya lagi.