IPOH: Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu telah mengarahkan usul pembayaran fi kepada lembaga pengarah Maju Perak Holdings (MHB) berjumlah RM386,250 tidak diluluskan setelah syarikat mencatat kerugian sebanyak RM11.01 juta.

 

Ahmad Faizal yang juga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) berkata PKNP sebagai pemegang equiti terbesar MHB tidak meluluskan usul pembayaran itu yang dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunannya pada hari ini.

 

Beliau turut mengarahkan imbuhan pengarah kepada pengarah-pengarah bukan-eksekutif dengan nilai mencecah RM150,000 dari 28 Jun sehingga AGM yang akan datang juga tidak diluluskan.

 

Usul syarikat itu untuk membuat lantikan semula tiga pengarah dan pengarah-pengarah bukan eksekutif juga tidak mendapat restu Menteri Besar.

 

Menurut beliau PKNP sebagai pemegang saham terbesar telah menolak semua usul di atas atas kepentingan kerajaan negeri Perak dan rakyatnya.

“Para pengarah MHB tidak wajar menerima bayaran fi yang besar untuk Laporan Tahun Kewangan 2017 berikutan prestasi yang mendukacitakan apabila mencatatkan kerugian bersih RM 11.01 juta yang dicatatkan pada laporan tahunan yang sama.

“Untuk imbuhan bagi tahun kewangan 2018, ia mestilah mencerminkan keadaan semasa yang serba mencabar,” katanya melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.

 

Tambah beliau khidmat para pengarah sedia ada juga tidak sepatutnya disambung bagi memberi laluan kepada perubahan yang selari dengan polisi pentadbiran baru.

“Kerajaan negeri ketika ini memberi keutamaan untuk memulihkan syarikat-syarikat berkaitan-kerajaan negeri yang tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan.

 

“Sebagai Pengerusi PKNP saya telah mengarahkan PKNP menolak kesemua usul yang tersebut di atas,” ujarnya