IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendedahkan beberapa persoalan yang sentiasa membelengu fikiran beliau ketika mengangkat sumpah jawatan tersebut.

Menurut beliau, antara persoalan itu ialah `macam mana nak mula ni? Apa yang patut aku buat terlebih dahulu? Boleh ke aku galas amanah sebesar ini?.

Beliau mengakui, terpaksa mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru.

“Jawatan saya ini bukan sekadar amanah rakyat, tetapi jauh lebih utama iaitu amanah daripada Allah SWT yang saya perlu galas sebaiknya,” katanya ketika memberi ucaptama dalam program Bicara Legai # Saving Legacy peringkat Negeri Perak di Rumah Ngaji Negeri Perak (kediaman lama Menteri Besar) di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, beliau lantas mengaplikasikan method asas yang disediakan Al Quran melalui Surah An Nahlu ayat 43 yang bermaksud “Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara)”.

“Perjumpaan demi perjumpaan saya lakukan, pertanyaan demi pertanyaan saya ajukan tidak lain dan tidak bukan bagi memahami struktur negeri Perak secara terperinci, kerana saya benar-benar perlukannya bagi memulakan langkah, dan terus melangkah selaku Menteri Besar Perak.

“Alhamdulillah, aplikasi bertanya dan berjumpa telah memberikan saya kekuatan untuk meneruskan kayuhan seterusnya,” ujarnya.

Menurut beliau, ayat itu juga mengajar manusia agar beradab dalam menjatuhkan hukuman dan keputusan, jangan terburu-buru atau mudah menjatuhkan hukuman tanpa terlebih dahulu bertanya kepada mereka yang arif.

Beliau berkata, setiap ketua jabatan mempunyai kepakaran dan kelebihan di samping kekurangan dan kelemahan.

“Maka, jadikan kelebihan yang ada pada saudara dan saudari semua sebagai acuan saling melengkapi antara satu sama lain, jika ada isu atau masalah, kita serahkan dan hormati ahlinya untuk menjawab, supaya pentadbiran dalam negeri Perak dapat dilihat efektif dan efisien dalam kerja, tidak terbit sikap suka adu domba, cerca mencerca, tuduh menuduh apatah lagi menabur fitnah sesama kita,” tambahnya.

Ahmad Faizal mengakui, beberapa bulan memegang jawatan Menteri Besar, beliau tidak terlepas berhadapan dengan pelbagai konflik, mehnah dan tribulasi yang menuntutnya bertindak secara berhikmah.

Beliau memberitahu, antaranya konflik kerana persepsi, mahupun sikap irihati ataupun dengki yang timbul pada segelintir individu kerana beliau berada dalam posisi itu.

Menurutnya, beliau tidak pernah tidak pernah membayangkan yang saya akan berada pada posisi itu, sebaliknya semua itu adalah ketentuan Allah dan tiada siapa yang boleh melawan kuasa Nya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar mendapat kerjasama baik daripada ketua-ketua jabatan kerana kejayaan mencipta Legasi Negeri Perak adalah terhasil daripada rencah muafakat dan sepakat.

“Saya sangat optimis dan sentiasa berpegang pada prinsip ‘Yakin dengan orang yang saya beri kepercayaan’. Balaslah kepercayaan yang diberikan dengan bekerja bersungguh-sungguh demi membina imej negeri Perak yang bukan sahaja hebat luaran, tetapi juga hebat dalaman.

“Saya adalah seorang hamba Allah yang tidak gemar meraikan konflik. Pada hemat saya, setiap konflik atau polemik yang membelenggu sesama kita ada jalan penyelesaian.

“Agama Islam mengajar kita untuk Musyawarah iaitu berdiskusi, bukan terus menuding jari. Setiap konflik yang berlaku antara puncanya adalah kerana kita tidak berterus terang, tidak jujur dan sentiasa bersangka buruk,” kata beliau.