IPOH: Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) bersetuju dengan kehendak ahli gabungan yang mahukan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjadi ‘nakhoda’ persatuan itu.

Sehubungan itu, Pafa akan mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) pada 6 Disember depan bagi membolehkan pelantikan Ahmad Faizal.

Pemangku Presiden Pafa, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad yang mempengerusikan mesyuarat khas malam ini berkata, EGM juga dijangka turut melantik Timbalan Presiden yang baharu bagi membantu mengemudi badan induk pembangunan bola sepak negeri itu.

“Kami akur dengan keputusan ahli gabungan yang mahukan Menteri Besar menerajui Pafa dan ia adalah adalah prosedur biasa untuk lantik bos yang baharu.

“Ahli gabungan juga mahukan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dilantik sebagai Timbalan Presiden Pafa dan EGM dijangka berlangsung di Casuarina Meru pada sebelah malam,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas itu.

Pelantikan Presiden itu dibuat berikutan peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim manakala Zainal Azman mengisi kekosongqn yang ditinggalkan Datuk Adly Shah Ahmad Tah.

Hasnul dipilih sebagai Presiden Pafa pada Kongres Tahunan ke-60 Pafa, 21 Julai lalu selepas menang tanpa bertanding bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Muhammad Yadzan berharap mesyuarat luar biasa yang akan diadakan nanti mampu memberi harapan dan sinar baharu bagi persatuan itu.

“Kita harapkan isu ini akan selesai dalam masa terdekat bagi memastikan hala tuju dan perjalanan persatuan untuk mengharungi musim akan datang.

“Kita yakin dengan sokongan beliau (Ahmad Faizal) kepada pasukan negeri sebelum ini yang tidak berbelah bahagi, jadi beliau mampu menjadikan Perak sebuah pasukan yang lebih baik jika menerajui Pafa kelak,” katanya.

Tambah beliau, Pafa turut mengharapkan sokongan yang tidak henti dari semua pihak supaya persatuan mampu mencipta sejarah lagi pada musim akan datang.