IPOH – Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini menyatakan kesediannya untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) seperti yang dicadangkan oleh persatuan berkenaan baru-baru ini.

Tambahnya, beliau bersedia memberikan darah dan keringat untuk persatuan tersebut bagi memastikan skuad The Bos Gaurus dapat terus berada di tahap tertinggi, namun ianya harus dipersetujui oleh kesemua pihak di dalam PAFA sendiri.

“Kerana yang paling penting ialah segala keputusan dibuat perlu memastikan momentum kejayaan dikecapi dapat diteruskan, sama ada saya Presiden atau siapa sahaja, ini yang paling penting.

“Tapi kalau exco PAFA merasakan saya akan merosakkan mutu permainan kita, jadi lebih baik tak perlu, saya biarkan PAFA yang tentukan, jika mereka mahu, saya akan berikan darah dan keringat,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Eksekutif PAFA telah bersetuju dengan kehendak ahli gabungan yang mahukan Menteri Besar Perak terbabit menjadi ‘nakhoda’ persatuan itu.

Sehubungan itu, PAFA akan mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) pada 6 Disember ini untuk mencalonkan Ahmad Faizal sebagai Presiden.

Tambah Menteri Besar lagi, jika benar-benar dicalonkan sebagai Presiden pada EGM itu nanti beliau tidak akan menolaknya.

“Sebenarnya mereka (rakan-rakan gabungan) bukan nak Ahmad Faizal jadi Presiden tapi nak “Menteri Besar” yang jadi Presiden kerana mudah untuk mendapatkan fasiliti dan sebagainya, saya fikir ianya juga merupakan perkara yang baik,” katanya ringkas.

Cadangan untuk melantik Menteri Besar Perak sebagai presiden dibuat berikutan peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim manakala Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman pula dicadangkan mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Adly Shah Ahmad Tah sebagai Timbalan Presiden.

Hasnul dipilih sebagai presiden pada Kongres Tahunan ke-60 PAFA, 21 Julai lalu selepas menang tanpa bertanding bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.