IPOH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mengetuai senarai penerima anugerah kebesaran sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-62 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada Jumaat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan yang juga Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Zahidi Zainuddin, Ahmad Faizal akan menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima anugerah yang sama ialah Pro-Chancellor Universiti Malaya, Toh Puan Dr Aishah Ong.

Selain itu, seramai 14 orang akan menerima anugerah Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk dan dua orang akan menerima Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan.

Zahidi memberitahu, istiadat penganugerahan darjah kebesaran itu akan diadakan di Balairung Seri, Istana Iskandariah Kuala Kangsar, pada Ahad.

“Anugerah-anugerah lain diperkenankan untuk dilangsungkan semasa sesi kedua pada 10 November 2018,” katanya dalam pada sidang media di Seri Bendahara di sini, pada Khamis yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman.

Penerima anugerah DPMP ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin; Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ming; Pengarah Tanah dan Galian Perak, Rumaizi Baharin @ Md Daud; Pengarah Kerja Raya Perak, Ir. Ahameed Tarmizi Ramli; Pengarah Pengairan dan Saliran Perak, Dr Ahmad Anuar Othman.

Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Prof. Madya Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin; Setiausaha Sulit Kepada Sultan Perak, Mohd Rasid Hussin Shah; Tokoh Maal Hijrah Perak 2018,Datuk Seri Ahmad Awang; Jeffri Salim Davidson; Ho Kay Tat; Goh Seng Kuang; Datuk Shahriman Shamsuddin dan Sinnathamby Senanthi.

Dua orang penerima anugerah DPTS pula ialah Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Brig Jen Ir Chapiti Redzwan dan Ketua Bahagian Pentadbiran & Penyelidikan Maktab Polis Diraja Malaysia, SAC Sum Chang Keong.

Selain daripada itu, enam orang dianugerahkan Darjah Paduka Cura Simanja Kini (PCM), 23 menerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 15 menerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 65 menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 72 menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 82 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan empat menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Antara penerima AMP ialah Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Perak yang juga bekas atlet lompat tinggi negara, Loo Kum Zee, bekas pemanah negara, Mon Redee Sut Txi dan Pegawai Daerah Betong (Thailand), Dumdrong Deesakul

Manakala jurukamera Suara Perak, Stanley Nelson adalah antara penerima PPT.

Menurut Zahidi, sempena sambutan itu juga, pelbagai acara telah disusun antaranya, bacaan Yassin, majlis kesyukuran dan doa selamat di semua masjid seluruh negeri pada waktu solat Jumaat, majlis santapan diraja pada Sabtu, istiadat kawalan kehormatan dan istiadat mengadap sembah taat setia, menjunjung duli dan penganugerahan darjah kebesaran pada Ahad.

“Turut akan diadakan ialah persembahan bunga api kira-kira 10 minit di pekarangan Istana Iskandariah sebelum majlis santapan diraja dan pertunjukkan bunga api itu dibiayai sepenuhnya oleh rakan-rakan Tuanku,” ujarnya.

Beliau menambah, Larian Keputeraan turut akan diadakan pada pagi 11 November di Kuala Kangsar.

Beliau menyeru rakyat negeri Perak sama-sama meraikan sambutan ulangtahun itu dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan-bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman di samping memasang lampu pada malam 2 dan 3 November sehingga jam 12 tengah malam.