IPOH: Ahmad Faizal Azumu memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak yang baharu di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini, selepas majlis angkat sumpah Sabtu lalu.

Ahmad Faizal, 48, yang tiba pada pukul 8 pagi disambut Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mohd Ghazali Abd Jalal yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri beserta pegawai dan kakitangan Pejabat Menteri Besar.

Turut mengiringi beliau ialah beberapa kepimpinan Pakatan Harapan negeri.

Ahmad Faizal kemudiaannya mengetip kad perakam waktu sebelum masuk ke pejabat dan diberikan taklimat ringkas oleh Mohd Ghazali.

Selepas itu, beliau terus mengadakan perjumpaan dengan para pegawai kerajaan di Bilik Gerakan Negeri bangunan tersebut.

Ahmad Faizal yang merupakan Menteri Besar Perak Ke-12 itu dijangka mengadakan sidang akhbar pertamanya hari ini pada pukul 11 pagi.

1/2