IPOH: Pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan kononnya parti itu bermasalah sehingga dikatakan bakal mengalami nasib serupa dengan Bersatu Negeri Sembilan yang diumumkan dibubarkan.

Sebaliknya, kata beliau, Bersatu dan Pakatan Harapan Perak berjalan dengan baik dengan memberi tumpuan untuk membangunkan negeri, memaju ekonomi dan menaikkan taraf sosio-ekonomi rakyat.

“Bukannya kami tidak ada masalah tapi masalah kami adalah masalah rakyat. Apa juga permasalahan terhadap rakyat, ini adalah masalah kepada kami dan kami nak cari jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah itu,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset di pejabatnya di sini, pada Selasa.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri Dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad kononnya Bersatu Perak akan menerima nasib yang sama seperti Bersatu Negeri Sembilan.

Saarani mendakwa, Bersatu masih gagal menganjurkan perhimpunan agung parti yang sah di samping ketiadaan ketua dilantik di peringkat cawangan di banyak tempat dan Bersatu Perak memperolehi kerusi Menteri Besar biar pun hanya menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri.

Situasi itu, katanya, menyebabkan parti berkenaan tidak dihormati DAP dan rakan parti dalam PH dan senario itu turut menyebabkan Bersatu tidak mempunyai kemampuan menuntut lebih banyak kuota pelantikan ahli majlis dan ketua kampung di peringkat akar umbi.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar berkata, masalah di Negeri Sembilan tidak ada kena mengena langsung dengan Perak dan Saarani sendiri mungkin tidak tahu apa cerita sebenarnya yang berlaku.

“Tak tahulah kalau dia dah masuk Bersatu atau berminat nak masuk Bersatu, cakap terang-terang, tak payahlah nak heboh, kita boleh beri borang. Dia ada nombor telefon saya, boleh telefon, boleh SMS, boleh whatsapp, cakap ajalah, minta elok-elok, nak masuk Amanah, boleh contact Datuk Seri Nizar, tak ada masalah.

“Kita terima orang-orang yang kalau dulu tersalah jalan, kalau nak balik ke pangkal jalan, kita cari jalan untuk perbetulkan, tak ada masalah, kami mengamalkan politik kasih sayang,” ujarnya.

Ahmad Faizal berkata, beliau telah beberapa kali menegaskan bahawa hentikan politiking dan memberi fokus untuk pembangunan negeri, memajukan ekonomi negeri serta menaikkan taraf sosio-ekonomi rakyat.

“Bab politik ni, kita tunggu dulu, dah dekat-dekat nak pilihan raya nanti, kita berpolitiklah balik. Tapi sekarang ni, fokus kerajaan Pakatan Harapan ialah untuk mentadbir dengan sebaik mungkin yang boleh, menyelesaikan masalah rakyat.

“Janganlah berpolitik sepanjang masa, kalau betul pun orang ada masalah, sebenarnya kita cari jalan untuk perbaikkan, bukan seronok dengan masalah orang lain, kalaupun ada masalah, tetapi saya menafikan yang Pakatan Harapan ataupun Bersatu Perak ada masalah,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyindir Saarani yang kononnya mempunyai kuasa untuk melihat apa yang akan berlaku di masa hadapan.

“Saya ucap tahniah kepada Datuk Saarani yang sekarang ni baru kita dapat tahu mempunyai kuasa untuk melihat masa depan dan saya pun teringin nak tanya dia apa lagi bencana-bencara yang akan datang ke negeri Perak ni supaya kita boleh buat persediaan.

“Pada diri saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan, kita tak nampak perkara-perkara ni akan berlaku. Yang kita nampak hari ni keadaan kami amat baik, tidak ada masalah, saya di dalam Bersatu juga tidak ada masalah, baru semalam saya mengadakan mesyuarat biro politik,” kata beliau.