IPOH– Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini menafikan khabar angin kononnya kontrak pemain import trio dari Brazil, Leandro Dos Santos Oliveira, Wander Luiz dan Gilmar Jose da Silva ditamatkan.

Menurutnya, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mereka-reka cerita dan menyiarkan berita itu di laman Facebook.

“Seseorang cuba mereka-mereka cerita bahawa pemain import Perak, Gilmar, Leandro dan Wander Luiz kononnya tidak akan disambung kontrak dan Perak akan mencari pemain import baru.

“Saya kira perkara ini belum lagi diputuskan dan kalau mengikut apa yang saya tahu, tiga pemain import ini dikekalkan, jadi saya pun tidak tahu di mana dia dapat berita ini, ia bukan dari Pafa, saya nafikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berkhatan di Taman Meru, di sini pada Jumaat.

Ahmad Faizal yang juga dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) baru-baru ini turut mengesahkan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman sebagai Timbalan Presiden.

Mengulas lanjut mengenai perancangan untuk Pafa, beliau berkata Datuk Adli Shah Ahmad Tah dilantik sebagai pengurus pasukan Perak bagi menyenaraikan pemain-pemain bagi musim akan datang.

“Beliau (Adli Shah) juga yang membawa balik Piala Malaysia, harapan saya juga supaya persatuan bola sepak daerah lebih aktif.

“Setiap daripada kita di Pafa ada peranan masing-masing dan selaku Presiden saya akan memastikan sumbangan-sumbangan atau sponsorship kepada pasukan dapat ditingkatkan agar pasukan dapat dijaga lebih baik,”katanya lagi.