IPOH 13 Mei – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memuji persembahan pemain import baharu, Ronaldo Henrique Silva sehingga membawa Perak ke separuh akhir Piala FA apabila menjaringkan dua gol dalam aksi suku akhir kedua menentang PKNP di Stadium Perak kelmarin.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berkata, persembahan seorang lagi penyerang import baharu juga dari Brazil, Raianderson Da Costa Morais tidak mengecewakan.

Menurutnya, Perak mendapat semangat baharu apabila kehadiran dua pemain itu menunjukkan petanda masalah ketumpulan jentera serangan pasukan itu kini semakin berjaya diatasi.

“Alhamdulillah, kita punya ‘new signing’ daripada kedua-dua pasukan menampilkan persembahan baik. Kita macam dapat tiupan semangat baharu dengan kemasukan pemain import ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dalam sesi interview khas setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) di sini semalam.

Dalam aksi di sini kelmarin, Ronaldo menjaringkan gol pada minit ke-23 dan ke-88 dalam aksi pertamanya bersama Perak untuk mengalahkan PKNP dengan agregat 2-1.

Ahmad Faizal turut mengucapkan tahniah kepada PKNP kerana dapat beri cabaran cukup baik kepada Perak dan sebagai Pengerusi PKNP, beliau bangga dengan pemain dan jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim.

Kata beliau, dalam masa sama, perlu ada penambah baikan di pihak skuad The Bos Gaurus.

Katanya, dalam aksi kelmarin, Perak gagal mengatasi semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemain PKNP terutama pada babak kedua permainan.

“Saya bukan peminat Liverpool tapi saya mahu pemain Perak contohi apa yang skuad The Reds lakukan sewaktu menentang Barcelona (dalam aksi Liga Juara-Juara) tempoh hari.

“Mereka jelas laparkan kejayaan, sentiasa bersemangat mencari bola. Sikap itu saya lihat ada pada pemain PKNP tetapi belum nampak pada Perak lagi, tak tahu sama ada stamina atau kita kurang laparkan kejayaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE