IPOH– Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yakin lebih ramai Ahli Parlimen UMNO akan keluar parti dalam masa terdekat.

Katanya, mereka telah mula sedar kemungkaran dan kecurangan yang berlaku dalam pentadbiran terdahulu.

Bagaimanapun, ujarnya sehingga kini, belum ada Ahli Parlimen dari Perak berjumpa dengan beliau untuk menyatakan hasrat keluar dari parti.

“Saya mendapati hari ini wakil rakyat daripada BN terutamanya, semakin berasa terbuka mata apabila melihat sedikit demi sedikit pendedahan yang dibuat kerajaan sekarang.

“Apabila mereka terlihat bahawa berlaku kecurangan atau kemungkaran dalam pentadbiran terdahulu, maka mereka mungkin merasakan inilah masa terbaik untuk melakukan pembetulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi tayangan Rise Ini Kalilah di TGV, Aeon Station 18, di sini pada Rabu.

Beliau mengulas tindakan dua ahli Parlimen UMNO, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang mengumumkan keluar UMNO dan meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal menggalakkan wakil-wakil rakyat UMNO kembali sedar dan berjuang dengan kerajaan Pakatan Harapan dalam memperjuangkan nasib rakyat.

“Saya galakkan jika mereka kembali sedar, kembalilah ke pangkal jalan, akhirnya kerja-kerja berpolitik ini kita perlu perlahankan .

“Kita dari wakil rakyat mesti fokus kepada langsaikan janji-janji manifesto dan memperbaiki kehidupan rakyat, jangan terlalu berpolitik dan saya yakin ramai lagi akan keluar,” katanya