IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) selepas kongres luar biasa (EGM) bermesyuarat Khamis malam.

EGM turut mengesahkan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman sebagai Timbalan Presiden.

Tiada agenda lain dalam mesyuarat yang tidak sampai 30 minit itu kecuali pengesahan Ahmad Faizal dan Zainal Azman.

Ahmad Faizal dalam ucapan penutupnya meminta semua pihak kembali bersatu demi Kemajuan bola sepak Perak.

“Tutup cerita lama dan buka buku baru. Kita satu keluarga, mari kita bergerak maju ke hadapan,” katanya.

Faizal berterima kasih kepada perwakilan dari 18 ahli gabungan yang telah mencalonkan beliau dan Zainal Azman untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Datuk Adly Shah Ahmad Tah.

Pada EGM itu juga, PAFA menerima tajaan bernilai RM1 juta dari Syarikat KL Teh Land and Development Sdn. Bhd.