IPOH– Kerajaan negeri menyambut baik sebarang usaha untuk memulihkan Taman Tema Animasi (MAPS) dan perancangan baharu mempromosikan taman tema berkenaan.

Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu menganggap ia sebagai langkap positif yang amat dialu-alukan kerajaan negeri.

“MAPS saya dapati antara masalah utamanya apabila ada kawasan tarikan yang belum boleh dibuka kerana masalah dengan perjanjian lesen (IP),

“Pandangan saya sekiranya keadaan ini berlaku perkara yang perlu kita buat mungkin bekerjasama dengan pihak lain agar kawasan itu yang telah siap dibuka boleh kepada orang ramai.

“Saya percaya keputusan oleh pihak pentadbiran MAPS ini tentunya dapat membantu MAPS membuka tarikan supaya pengunjung merasakan sebelum mereka membeli tiket masuk ke MAPS, nilai tiket yang mereka bayar berbaloi,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif MAPS, Shafeii Abdul Gaffor berkata penamatan IP berkenaan membolehkan MAPS mengadakan promosi besar-besaran dalam usaha menarik kunjungan orang ramai terutamanya pelancong.

Penamatan IP dengan Dreamworks pada 31 Julai lalu sekali gus menyaksikan hampir 80 peratus peralatan milik Dreamworks sedang dalam proses untuk dibuka oleh syarikat berkenaan.

Orang ramai juga berpeluang menyertai peraduan bagi mencipta nama segmen baharu yang bakal dibuka pada 31 Ogos bagi menggantikan segmen lama, Dreamzone .

Peraduan ini dibuka mulai 13 hingga 25 Ogos ini di media sosial dan pemenang akan diumumkan pada 27 Ogos sebelum majlis penyampaian hadiah pada malam 31 Ogos.