IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Ahli Parlimen Tambun telah menyerahkan dokumen perisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 Disember lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal telah menandatangani dokumen berkenaan dengan disaksikan oleh Pesuruhjaya Sumpah sebelum diserahkan kepada pihak SPRM.

“Bagaimanapun, pihak Pejabat Menteri Besar mendapati maklumat tersebut belum dikemaskini setakat jam 5 petang Ahad 9 Disember 2018 apabila berita tersebut dilaporkan,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan pada Isnin.

Kenyataan tersebut merujuk kepada laporan sebuah portal berita bahawa Ahmad Faizal adalah antara Ahli Parlimen yang belum menyerahkan dokumen perisytiharan harta kepada SPRM.

Menurut kenyataan itu, sebagai Menteri Besar dan Ahli Parlimen, Ahmad Faizal sentiasa komited untuk memenuhi janji Pakatan Harapan, mengisytiharkan harta seperti mana yang termaktub dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, semua ahli jentera pentadbiran kerajaan negeri Perak termasuk Exco kerajaan negeri, pegawai kanan kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kanan badan berkanun negeri juga telah mengisytiharkan harta masing-masing.

“Ini adalah selari dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan Perak kepada prinsip ketelusan dan akauntabiliti serta komitmen untuk memerangi rasuah dan salahguna kuasa,” ujarnya.