GOPENG: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan dia sama sekali tidak pernah menyimpan angan-angan untuk mengisi kekosongan jawatan Menteri Pendidikan yang ketika ini dipangku oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru dia yang juga selaku Ahli Parlimen Tambun dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak memberi sokongan penuh kepada usaha yang dilakukan oleh Dr. Mahathir untuk kebaikan negara.

“Saya fikir kita tidak perlu dengar apa juga spekulasi tentang perkara ini dan ada banyang masalah yang perlu kita selesaikan.

“Saya sebenarnya amat gembira apabila jawatan Menteri Pelajaran itu dipegang secara interim (sementara) oleh Perdana Menteri sendiri, yang kita amat yakini sebagai seorang pemimpin yang amat berkebolehan.

“Tentunya kebolehan itu mampu menyelesaikan pelbagai kerumitan masalah yang ada di Kementerian tersebut.

“Jadi tentunya saya atau mana-mana pemimpin lain atau ahli parlimen sedia ada tidak mampu menandingi keupayaan yang ada pada pada Perdana Menteri, jadi saya tak perlu simpan angan-angan dan tumpu usaha sebagai Menteri Besar Perak, “katanya.

Dia ditemui pemberita di Majlis Pelancaran Jualan Rumah Perakku 1 di Gopeng pada Isnin.

Ahmad Faizal berkata demikian sebagai mengulas spekulasi yang timbul setelah Dr Mahathir mengumumkan pemilihan Menteri Pendidikan yang baharu akan dilantik dari kalangan ahli Parlimen Bersatu.

Parti itu kini mempunyai 22 ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Sebelum ini Pejabat Perdana Menteri melalui satu kenyataan media mengesahkan Dr Mahathir memangku jawatan Menteri Pendidikan berkuatkuasa 3 Januari lalu.

Terdahulu, Dr Maszlee mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuatkuasa 3 Januari 2020 selepas 20 bulan memikul jawatan itu.