IPOH: Kerajaan negeri Perak yang baharu akan meneruskan beberapa program dan polisi yang telah dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lalu.

Bagaimanapun, beberapa penambahbaikan akan dilakukan untuk memberi lebih manfaat kepada rakyat.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu memberi contoh, Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) yang ditubuhkan oleh kerajaan terdahulu, telah banyak membantu rakyat miskin dan mengupayakan golongan yang memerlukan.

“Sekarang ini, kita perlu berhenti untuk berpolitik dan mula sama-sama, baik pihak pembangkang, kerajaan dan semua pihak, memikirkan untuk membangunkan negeri, membantu orang yang memerlukan dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Ahmad Faizal memulakan hari pertama hari ini sebagai Menteri Besar selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Selepas memasuki pejabat, beliau mendengar taklimat daripada pegawai kanan negeri mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran.

Menurutnya, fokus utama beliau ialah menunaikan manifesto Pakatan Harapan yang dibuat ketika pilihan raya umum lalu.

“Segala tawaran yang telah dibuat oleh Pakatan Harapan melalui Parti Keadilan Rakyat akan saya bincang dengan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri untuk kita cari jalan bagaimana untuk melaksanakan dan menyempurnakan janji-janji tersebut,” ujarnya.

Beliau berpendapat, berdasarkan bajet kerajaan negeri yang telah diluluskan, kerajaan negeri mampu melaksanakan program yang dijanjikan di dalam manifesto berkenaan.

Dalam masa sama, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada pentadbiran yang terdahulu yang telah memberi kerjasama di dalam melicinkan proses peralihan kuasa selepas PRU-14.

Sementara itu, Ahmad Faizal memberitahu, beliau akan mengadakan perbincangan secepat mungkin dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan untuk menyediakan senarai anggota exco kerajaan negeri, sebelum diserahkan untuk perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurutnya, 10 anggota exco baru dijangka dilantik dengan portfolio yang tidak banyak berbeza dengan apa yang terdapat sebelum ini.

Beliau turut mengharapkan kerjasama baik daripada semua media untuk menjadi penghubung komunikasi antara kerajaan negeri dan rakyat di negeri ini.