IPOH – Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu mengarahkan usul pembayaran fi kepada lembaga pengarah Perak Corp Berhad (PCB) berjumlah RM441,650 tidak diluluskan setelah ia mencatatkan kerugian berjumlah RM340.6 juta.

 

Ahmad Faizal yang juga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) berkata PKNP sebagai pemegang saham majoriti di dalam kumpulan PCB turut menolak usul pembayaran imbuhan pengarah berjumlah RM150,000 untuk tahun kewangan berakhir Disember 2017.

 

Beliau berkata, susulan prestasi yang mendukacitakan syarikat bagi tahun kewangan lalu, adalah tidak wajar bagi lembaga pengarah PCB dibayar imbuhan yang besar.

 

“Kumpulan PCB telah mencatatkan kerugian berjumlah RM340.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 dan sehingga tarikh tersebut, liabiliti kumpulan itu telah melebihi asetnya pada kadar RM158.5 juta.

 

“Justeru, PKNP selaku pemegang saham terbesar menolak usul-usul tersebut, atas  kepentingan negeri Perak dan rakyatnya,” kata beliau melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.

 

Usul pembayaran fi pengarah dan imbuhan pengarah itu sebelum ini telah dicadangkan melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PCB yang diadakan di Ipoh, semalam.

 

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata melalui AGM itu juga, dua pengarah PCB Datuk Dr S. Vasan dan Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin telah menolak tawaran dilantik semula manakala seorang lagi telah meletak jawatan.

 

“Kedua-dua mereka telah menolak untuk dilantik semula ke jawatan itu manakala seorang lagi Pengarah, Ab Rahman Mohammed telah meletakkan jawatannya,” ujar beliau.

 

PCB adalah anak syarikat utama PKNP yang berfungsi sebagai syarikat pegangan pelaburan yang memberi fokus kepada beberapa teras perniagaan iaitu pembangunan hartanah, pelabuhan, logistik serta hospitaliti dan pelancongan.

 

Antara projek milik PCB adalah taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) di mana ia memiliki 51 peratus pegangan saham dalam Animation Theme Park Sdn Bhd melalui PCB Development Sdn Bhd.

 

Sebelum ini Ahmad Faizal turut telah menolak usul sama yang dibuat oleh Maju Perak Holdings Berhad (MHB) atas sebab kerugian yang di alami syarikat pelaburan itu – berita harian