IPOH: Bekas ketua pasukan kebangsaan dan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian kekal sebagai pengurus pasukan Liga Super Perak, walaupun tidak lagi menjadi Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Presiden PAFA, YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, pengurusan tertinggi persatuan berpendapat, pengalaman Ahmad Shahrul boleh dimanfaatkan untuk menaikkan moral dan semangat pasukan mengharungi baki perlawanan yang ada.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, tidak ada istilah penamatan kontrak terhadap Ahmad Shahrul sebagai setiausaha, sebaliknya hanya pertukaran jawatankuasa di dalam pengurusan sekretariat PAFA.

“Saya nak jelaskan kepada penyokong-penyokong yang kami kasihi dan sayangi, saya memahami penyokong juga gelisah dengan isu ini.

“Kalau kontrak, ianya ada terikat dengan tempuh masa dan gaji serta elaun tetapi setiausaha adalah lantikan daripada Presiden,” katanya pada sidang media di pejabat PAFA di sini, hari ini.

Isu Ahmad Shahrul viral di media sosial kononnya kontrak beliau sebagai Setiausaha Kehormat PAFA telah ditamatkan berkuatkuasa Isnin lalu.

YB Hasnul berkata, berpandukan Perlembagaan PAFA, presiden mempunyai kuasa untuk melantik beberapa jawatan di dalam persatuan itu, termasuk Setiausaha Kehormat yang baru, Abdul Aziz Yeop Jamaludin.

Tambahan pula, kata beliau, keputusan tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat Ahli Majlis PAFA pada Isnin.

Beliau berkata, sebelum ini peranan Ahmad Shahrul bersama pasukan ketika perlawanan-perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Perak mahupun di luar, sangat kurang kerana beliau berada bersama pihak pengurusan tertinggi.

“Kali ini kami mengharapkan beliau dapat memberikan tumpuan penuh dan berada di bangku simpanan bersama-sama pemain-pemain supaya beliau mampu berperanan untuk memberi sokongan dan semangat ataupun arahan-arahan tektikal ketika perlawanan sedang dilangsungkan.

“Inilah pandangan daripada pengurusan yang baru bagi memastikan kesinambungan nama baik pasukan bola sepak Perak dapat diteruskan dalam baki perlawanan terakhir Liga Super dan juga Piala Malaysia akan datang,” ujarnya.

Di samping itu, beliau turut yakin penyokong-penyokong juga akan berasa lebih bersemangat apabila melihat Ahmad Shahrul berada di tepi padang bersama dengan jurulatih dan pemain-pemain simpanan.

Beliau berkata, peranan seorang setiausaha lebih kepada pengurusan di sekretariat pejabat PAFA yang melibatkan surat menyurat, urusan-urusan mesyuarat ataupun yang berkaitan FAM.

“Saya kira peranan ini boleh dimainkan oleh setiausaha yang baru dan Ahmad Shahrul Azhar mempunyai tugas yang lebih besar dalam mengurus pasukan Liga Super dan kita rasa kejayaan lampau beliau dapat dikongsi terus bersama pemain dan jurulatih yang ada,” katanya.

Ditanya mengapa Abdul Aziz bertanding sebagai sebagai Naib Presiden dan menang pada kongres baru-baru ini jika beliau dicadangkan untuk dilantik sebagai Setiausaha Kehormat, YB Hasnul berkata, Perlembagaan PAFA membenarkan mana-mana ahli majlis atau ahli gabungan persatuan itu untuk bertanding.

“Pengalaman beliau sebelum ini mentadbir sekretariat PAFA ini mampu dimanfaatkan dan beliau akan memberi kerjasama penuh bersama Ahli Majlis yang ada, beliau tidak boleh bertindak seorang diri, segala keputusan harus kita bincangkan dalam Ahli Majlis tertingi PAFA,” ujarnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk melantik beberapa calon yang tewas dalam pemilihan sempena Kongres ke-60 PAFA baru-baru ini, sebagai Ahli Majlis tambahan.