Subscribe Now

Trending News

Ahmad Suaidi Datuk Bandar Ipoh ke-11
Dalam Negeri

Ahmad Suaidi Datuk Bandar Ipoh ke-11 

IPOH: Pelantikan Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim sebagai Datuk Bandar Ipoh yang baharu diharap dapat meneruskan wawasan kerajaan negeri bagi menjadikan Ipoh sekali lagi mendapat penarafan lima bintang seperti diperoleh pada tahun 2016.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dengan pasukan kerja yang berpengalaman, beliau percaya penarafan itu tidak sukar untuk dicapai.

“Saya juga mahu Ipoh dan Taiping bekerjasama dengan bandar Fukuoka sempena ulang tahun ke-30 bandar berkembar pada tahun ini kerana Datuk Bandar Fukuoka akan membuat lawatan balas pada penghujung tahun ini.

“Selain pertukaran pegawai melibatkan kedua-dua bandar, kita juga akan ada pertukaran haiwan antara Zoo Taiping dan Zoo Fukuoka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Ahmad Suaidi ke pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Borhan Abdul Halim yang disambung kontrak perkhidmatannya sehingga hujung tahun ini.

Ahmad Suaidi, 49, yang berasal dari Changkat Jering, merupakan bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) dari pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Pelantikan Ahmad Suaidi sebagai Datuk Bandar Ipoh Ke-11 berkuat kuasa 1 Julai tahun ini adalah bagi menggantikan Datuk Zamri Man yang dipendekkan tempoh perkhidmatan mulai 17 Februari lalu atas faktor kesihatan.

Sementara itu, Ahmad Suaidi berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua ahli majlis serta meneruskan agenda perencanaan Ipoh ke arah pembangunan bandar pintar.

Ahmad Suaidi yang boleh bertutur dalam bahasa Jepun, merupakan graduan Sarjana Informasi Global dan Pengajian Telekomunikasi dari Universiti Waseda, Jepun selain memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Bioteknologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

-Utusan

Related posts