KEPALA BATAS: Tidak timbul persoalan sama ada akan mengembalikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kepemimpinan UMNO atau sebaliknya kerana beliau masih memegang jawatan presiden parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata tidak timbul isu mahu mengembalikan Ahmad Zahid atau tidak kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bercuti dengan kerelaan beliau.

“Malah, beliau (Ahmad Zahid) sendiri meletakkan tanggungjawab yang dipikul oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sejak Disember lalu, dan ini bukan perkara yang perlu dibincangkan ketika ini.

“Setakat ini, kita menyaksikan kemenangan di beberapa pilihan raya kecil (PRK); penyatuan UMNO-PAS juga berada di landasan baik selain rakan komponen Barisan Nasional (BN) pun dalam keadaan baik.

“Apa yang lebih penting ialah rakyat nak tengok pembangkang betul-betul jadi semak dan imbang kepada kerajaan supaya kerosakan tak berlaku secara berlebih-lebihan seperti yang berlaku sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ihya Ramadan anjuran Pergerakan Pemuda UMNO yang turut dihadiri Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid Hamidi dilapor masih berteka-teki berhubung tempoh cutinya sebagai Presiden UMNO, selain sekadar memaklumkan akan menamatkan tempoh itu hingga tiba masa sesuai.

Pada 18 Disember lalu, Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri mengumumkan akan bercuti daripada jawatan Presiden UMNO dan menyerahkan tugas itu kepada Mohamad.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya kini fokus kepada pentadbiran Kerajaan Pusat diterajui Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan kini berada dalam keadaan bercelaru.

“Akar umbi UMNO tak ada isu atau konflik dalaman tetapi fokus untuk membantu rakyat kerana orang ramai hidup semakin sengsara di bawah PH.

“Kos hidup semakin meningkat dan sebagainya dan mereka (rakyat) perlu dibela. Golongan belia juga terus ditekan dengan pelbagai dasar pusingan U yang PH cuba untuk memperkenalkan semula walaupun dahulu mahu dihapuskan,” katanya.

Mengulas gesaan Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang mahu Ahmad Zahid terus bercuti atau melepaskan jawatan, Asyraf Wajdi berkata, ia adalah pandangan peribadi yang tidak mewakili parti.

“Perkara ini (gesaan supaya Ahmad Zahid terus bercuti atau melepaskan jawatan) tak pernah dibincangkan. Bagi Pemuda, lebih baik kita tumpukan kepada isu lebih utama membabitkan kegagalan Kerajaan PH,” katanya – Berita harian