IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan rakyat Perak supaya mematuhi peraturan larangan merokok di premis-premis makanan yang dilaksanakan mulai 1 Januari lalu.

Menurut beliau, peraturan itu bukan sahaja untuk menjaga kesihatan mereka, tetapi juga sebagai menghormati pelanggan-pelanggan lain.

Beliau turut mengajak mereka untuk terus berhenti merokok, seperti yang dilakukannya sendiri.

“Alhamdulillah saya sendiri sudah berhenti merokok beberapa bulan yang lalu. Memang pada awalnya susah, tapi alhamdulillah berkat sokongan keluarga saya masih mampu bertahan. Insya Allah saya berdoa akan terus kekal berhenti merokok,” katanya ketika berucap pada program Jom Sihat Bersama Ahli Parlimen Tambun di SJK (C) Chong Hwa Khantan Baru di sini pada Ahad.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun mengajak rakyat supaya mengamalkan cara hidup sihat
bagi membentuk komuniti sihat bebas dari penyakit NCD (Penyakit Tidak Berjangkit).

Menurut Ahmad Faizal, amalan cara hidup sihat itu melibatkan lima skop utama iaitu makan secara sihat, tidak merokok, hidup yang aktif, pengurusan berat badan dan mengetahui status kesihatan diri melalui pengesanan awal faktor risiko penyakit NCD secara kendiri.

Selain dari menjaga kesihatan, beliau juga ingin mengajak rakyat untuk menjaga kebersihan di dalam rumah, persekitaran rumah dan kejiranan untuk menangani demam denggi.

“Ini mesej yang saya selalu sentuh dalam ucapan saya di mana sahaja kerana ini adakah bukti bahawa kita sayangkan negara kita.

“Jangan hanya berbangga yang kita sayangkan negara apabila atlet kita bertarung dengan atlet luar negara tapi kita abaikan kebersihan negara,” ujarnya.

Beliau menambah, usaha itu adalah tanggungjawab setiap rakyat yang patriotik dan jangan hanya letakkan beban kepada majlis perbandaran.