TELUK INTAN: Bayaran terbaru Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang dijangka dibuat dalam bulan Ramadan ini akan membantu penerima membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Jumlah bayaran itu ialah RM800 iaitu tambahan RM400 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, BR1M terbukti banyak membantu rakyat sehingga pembangkang turut memasukkannya ke dalam manifesto pilihan raya mereka.

“Dulu kata BR1M ini tak baik, dedak, rasuah, aleh-aleh dalam manifesto ada BR1M.

“Selama ni dia kutuk program BR1M, tiba-tiba tak malu, muka tebal, masuk dalam manifesto, ada pula BR1M, kerana apa, kerana orang tahu brim lah bantu keluarga,” katanya ketika berucap di majlis pecah tanah projek PR1MA di Teluk Intan, di Batu 4, Jalan Changkat Jong di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias dan barisan Exco kerajaan negeri Perak.

Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan Barisan Nasional akan terus menjaga kebajikan rakyat.

Menurutnya, rakyat tidak mahu lagi mendengar cakap-cakap yang sentiasa berubah-ubah, seperti yang dilakukan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Macam kedai roti, dalam dua minggu, empat kali tukar, mula-mula kata kedai dia, lepas tu bukan kedai dia, kata dah jual, akhir kata mengaku kedai dia, empat kali dalam masa dua minggu.

“Ubah, ubah, ubah, ubah kenyataan dia, ubah, akhirnya mengaku, sebab apa, dalam daftar syarikat, dia ada 10 juta saham, 51 peratus, tak mengaku mula-mula,” ujarnya.

Menurut Najib, walaupun kedai roti The Loaf milik Dr Mahathir ditutup, kononnya kerana ekonomi negara tidak baik, banyak kedai roti seperti Roti Boy dan Gardinier semakin maju.

Malah, kata beliau, kedai Rojak Mastan Ghani di Teluk Intan terus menerima ramai pelanggan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya memilih wakil rakyat dan kerajaan yang boleh memberi faedah manfaat kepada rakyat.

BERITA BERKENAAN : Pembangkang Selesai Agih Kerusi DUN Selangor

1/4