TAIPING– Faktor cuaca baik dan keadaan air yang semakin surut menyebabkan bilangan mangsa banjir di sekitar Taiping berkurangan setakat jam 12.30 tengahari hari ini.

Dalam pada itu, satu daripada lima pusat pemindahan sementara yang dibuka sejak semalam sudah ditutup ekoran mangsa sudah kembali ke rumah masing-masing.

Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Kamil Abdul Rani berkata sehingga jam 12.30 tengahari, terdapat 242 mangsa di empat pusat pemindahan sementara berbanding 395 sebelum ini.

“Keadaan beransur baik dengan banjir semakin surut, malah ramai mangsa yang sudah pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan kawasan rumah yang dinaiki air.

“Hujan lebat sejak jam 2 petang semalam berlarutan sehingga kira-kira jam 7 malam. Itu menjadi salah satu punca mengapa banjir berlaku di sekitar Trong,” kata Mohamad Kamil ketika dihubungi.

Dalam pada itu, ujarnya pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Kampung Nibong ditutup kira-kira jam 11.10 pagi.

Antara pusat pemindahan yang terlibat setakat ini seperti Sungai Bemban, Sekolah Kebangsaan Temelok, Sekolah Kebangsaan Batu Hampar dan Kampung Jawa.

Sementara itu, Pasukan Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Malaysia negeri Perak serta Jabatan Kesihatan Taiping turut terlibat dalam misi membantu mangsa banjir.

Mohamad Kamil turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa ketika berlaku banjir.

1/5