IPOH: Air daripada loji rawatan air (LRA) Air Ganda di Hulu Perak selamat untuk digunakan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hasil ujian contoh air yang dijalankan ke atas sampel terkini dari loji itu menunjukkan paras arsenik adalah rendah dan di bawah piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO iaitu kurang daripada 0.01 miligram untuk setiap liter.

Menurut beliau, LRA Air Ganda, membekalkan air sebanyak 0.5 juta liter air sehari untuk kegunaan lebih 1,000 penduduk Kampung Air Ganda.

“Untuk memastikan penduduk kampung ini mendapat bekalan air yang selamat, pemantauan kualiti air sentiasa dijalankan di bawah Program Kawalan Mutu Air Minuman Kebangsaan bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Perak,’ katanya dalam sidang media khas mengenai pencemaran Sungai Rui di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, Lembaga Air Perak (LAP) juga mempertingkatkan lagi persampelan air di LRA Air Ganda untuk mempastikan kualiti air berada pada tahan tang dibenarkan.

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Perak juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas penduduk Kampung Air Ganda yang dijangkiti penyakit kulit.

“Buat masa ini Jabatan Kesihatan Negeri merumuskan hasil kajian termasuk pemeriksaan fizikal ke atas penduduk adalah masih awal dan belum lagi dapat dikaitkan dengan pendedahan kepada arsenik. Jabatan Kesihatan akan terus memantau tahap kesihatan penduduk Kampung Air Ganda,” ujarnya.

Di samping itu, katanya, Jabatan Kesihatan juga telah mengambil sampel rambut daripada 300 penduduk kampung itu yang mengalami simptom sakit kulit untuk dihantar ke Institut Kajian Perubatan Malaysia (IMR) bagi tujuan analisis.

“Kita masih menunggu laporan penuh daripada IMR dan sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, kita perlu memastikan setiap tindakan adalah berdasarkan fakta yang konklusif, supaya tidak berlaku kebimbangan dan suasana panik di kalangan rakyat,” katanya.