TRONG: Air laut pasang yang bertembung dengan hujan lebat berterusan telah menyebabkan ramai penduduk di sekitar Trong mengalami banjir terburuk sejak berpuluh tahun.

Difahamkan, hujan lebat di kawasan itu mulai turun sejak awal petang Isnin dan berterusan sehingga tujuh jam menyebabkan aliran sungai bertambah deras sebelum melimpah keluar ke kawasan perumahan penduduk.

Pegawai Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Faizulhalimi Mohd Yunos ketika ditemui Suara Perak berkata, keadaan tahun ini sememangnya teruk berbanding tahun sebelumnnya kerana ia bertembung dengan keadaan air laut pasang menyebabkan banjir berlaku secara mendadak.

WhatsApp Image 2017-01-25 at 10.27.20

“Sebelum ini tidak pernah lagi hujan sampai enam, tujuh jam jadi apabila hujan dalam tempoh masa panjang, air sungai akan pergi ke Sungai Nyior dan Sungai Tinggi yang merupakan laluan utama aliran sungai.

“Tetapi, disebabkan laluan utama pun telah sesak disebabkan air laut yang masuk, maka air membuak keluar ke sekeliling dan rumah yang berada di paras rendah sudah tentu akan terjejas,” katanya.

Tambah Faizul, banjir kali ini berlaku dengan begitu pantas dan mencapai sehingga hampir 1 meter (3 kaki) atau paras pinggang menyebabkan pihaknya perlu memindahkan mangsa ke tempat selamat dengan segera.

Katanya, sejak dibuka pada pukul 7.30 semalam (Isnin), pihaknya telah memindahkan lebih 100 ke pusat pemindahan sementara di Surau Kg Jawa Trong, Dewan Orang Ramai Kg Kelubong, DOR Pdg Serai dan DOR Matang Merbau.

Jelasnya, antara cabaran utama yang perlu dilalui adalah mereka terpaksa menggunakan lampu dari kenderaan sendiri ketika memindahkan beberapa mangsa banjir di sekitar Batu Hampar.

“Kami terpaksa menggunakan lampu dan cahaya dari kenderaan sendiri sebagai panduan arah kepada anggota yang memindahkan mangsa di seberang sungai, kerana beberapa pencawang TNB telah ditenggelami air dan bekalan elektrik terpaksa diputuskan.

“Ditambah dengan keadaan hujan lebat dan ada warga emas dan OKU, memang waktu itu agak mencabar buat kami namun syukur semuanya berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan surau Kg Jawa, Trong pada petang Selasa.

Jelasnya lagi, pihaknya akan melaksanakan pemantauan berkala setiap dua hingga tiga jam untuk melihat paras air dan kesemua mangsa banjir tidak akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sekiranya cuaca masih belum mengizinkan.