BANDAR BAHARU: “Air naik terlalu cepat dan tak sempat nak selamatkan barang termasuk kain cadar untuk bilik pengantin anak perempuan saya yang akan dilangsungkan pada Hari Raya Aidilfitri keempat nanti,” kata Othman Akhir, 65, mengenai kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Teluk Sera, Lubuk Buntar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, hujan lebat hampir sejam menyebabkan beberapa rumah di kampung terbabit ditenggelami air sedalam 0.5 meter.

Othman berkata, kejadian itu pertama kali berlaku selepas hampir enam tahun kampung terbabit tidak dilanda banjir kilat.

Katanya, jika hujan lebat, air hanya akan memenuhi di kawasan laman rumah saja dan tidak sampai ke dalam kediaman.

“Namun kejadian petang semalam, kami tidak sangka paras air naik begitu tinggi sehingga masuk ke dalam rumah menyebabkan saya dan penduduk panik sehingga tidak sempat menyelamatkan harta benda.

“Kami hanya sempat menyelamatkan barangan yang terlintas di fikiran kerana kejadian berlaku begitu pantas tambahan sudah lama tidak berlaku banjir kilat di kampung ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Sera, Lubuk Buntar, di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama isteri, Mashitah Kuraisim, 60, berada di ruang tamu dan ketika itu hanya memantau paras air di luar saja.

“Namun selepas 45 minit hujan, secara tiba-tiba paras air naik mendadak menyebabkan kami kelam-kabut menyelamatkan harta benda terutama barangan elektrik.

“Dalam keadaan panik mujur segala persiapan perkahwinan anak perempuan saya di dalam bilik tidak rosak kerana diletakkan di atas almari namun kain cadar di bawah almari rosak,” katanya.

Menurutnya, perabot dan barangan lain seperti tikar getah yang baru dibeli awal tahun ini turut rosak terkena lumpur.

“Air dipercayai turun dari bukit berhampiran amat deras sehinggakan sebuah kolah konkrit yang berada di luar rumah dihanyutkan arus.

“Motosikal saya turut dibawa arus manakala sebuah Perodua Kancil di halaman rumah dimasuki air,” katanya.

NSTP hari ini melaporkan sebanyak 200 kediaman membabitkan 10 kampung di Bandar Baharu terjejas akibat banjir kilat.

Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu Saiful Izham Ramli, berkata setakat awal pagi ini pihaknya menerima laporan hampir 200 rumah dinaiki air sejak 3.50 petang.

Katanya, antara kawasan terbabit ialah di Kampung Relau, Sungai Kechil Illir, Permatang Pasir, Tebuk Mat Rasid, Bandar Baharu, Parit Nibong, Bagan Samak, Permatang Kerat Telunjuk, Teluk Sera dan Ayer Putih – berita harian